Pemangku Raja Pahang terima baik jika Farid Kamil pulangkan gelaran Datuk

Loading...

Sebelum ini Harian Metro hari ini melaporkan yang pelakon dan pengarah, Farid Kamil Zahari dan artis kelahiran Singapura, Aaron Aziz antara 169 penerima darjah kebesaran dan pingat Pahang sempena memuliakan ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Ahmad Shah di Istana Abu Bakar, Pekan.

Farid Kamil dan Aaron Aziz masing-masing menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk.

Isteri Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Datin Seri Anggraini Sentiyaki mendahului senarai nama penerima pingat yang menerima Darjah Kebesaran Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri bersama 21 individu lain.

Sultan Ahmad Shah juga berkenan mengurniakan darjah Setia Ahmad Shah Pahang (SAP) kepada enam penerima, Setia Mahkota Pahang (SMP) lapan individu, Ahli Mahkota Pahang (AMP) 20 penerima, Pingat Khidmat Cemerlang (PKC) enam penerima dan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) kepada 13 individu

KUANTAN – Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menerima baik sekiranya pelakon terkenal dan penerbit filem, Datuk Farid Kamil Zahari dengan rela hati memulangkan semula Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP).

Tengku Abdullah turut mengakui berasa dukacita selepas dikejutkan dengan tindakan pelakon tersebut yang ditahan dan didakwa di mahkamah kerana menampar seorang anggota polis di Balai Polis Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

“Semua individu yang mendapat (gelaran) Datuk, telah tersurat dan tersirat dalam etika untuk (layak) memakai gelaran ini.

“Kalau hendak diikutkan hati, nak tarik semua (anugerah kebesaran negeri). Saya dukacita kalau terdapat individu yang digelar Datuk berkelakuan seperti ini.

“Kalau dia hendak pulangkan, terpulanglah. Kalau dia sedar dan dia hendak pulangkan, itu lebih baik,” titah baginda kepada pemberita di sini semalam.

Baginda bertitah demikian ketika mengadakan lawatan ke atas mangsa kebakaran tiga buah rumah di Perkampungan Sungai Isap di sini yang hangus dijilat api dalam kejadian petang kelmarin.

Sebagai rekod, Farid Kamil menerima anugerah DIMP di Istana Abu Bakar, Pekan pada 16 Disember tahun lalu yang membawa gelaran Datuk.

Ujar Tengku Abdullah lagi, baginda tidak mahu menghukum mana-mana pihak bergelar Datuk sekiranya individu terbabit melakukan kesalahan.

“Saya bukan mahu menghukum, tapi mereka sendiri yang tersalah langkah. Kalau kita hendak tarik semula (gelaran Datuk), kita juga harus mengikut prosedur.

“Tapi kalau dia hendak pulangkan, itu cara terbaik,” tambah baginda. – K! ONLINE

Sumber : KosmoOnline

Loading...